Rabu, 8 Oktober 2014

Sebuah Cerita Dunia...........


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Suatu ketika dan cerita dahulu, aku pernah melabuhkan beberapa tinta biasa dalam laman pengetahuan ini, namun dek kesibukanku pada pelajaran, kutinggalkannya sementara waktu. Jika dihitung waktu, peninggalanku daripada menujah kata-kata pada entri ini agak lama memakan beberapa tahun, bulan, minggu dan hari. Namun hari ini, terdetik pada hati kecilku untuk meleraikan kembali kerinduanku untuk menghamburkan kata-kata manis dan indah di persinggahan ini. Hari ini, aku berminat untuk menerjah kepada sebahagian episod dunia dan isinya selama beberapa tahun ini.

Dunia, terlalu banyak cerita yang kau lalui,
Tak terkisah dek lembaran yang sekecil ini, 
Tak sempurna perjalananmu untuk diceritakan,
Tak terungkai penyelesaian dalam kisahmu,
Tak terhembur segala kedukaan yang kau lalui,
Tak berkesudahan ceritamu sampai hujung dunia,
Itulah dunia hari ini.

Serangkap kata-kata di atas telah mencoret kan bahawa betapa beratnya kedukaan yang dialami oleh dunia dan isinya pada hari ini. Namun, dunia terus berlalu dan teguh berdiri di atas paparan bumi berbumbung kan angkasa langit. Begitulah hebatnya aturan dan kisah perjalanan yang telah sempurna termaktub dalam pengetahuan yang Maha Esa. Dunia hari ini sedang mengalami bibit-bibit ke arah kehancuran yang nyata, namun ia tidaklah berlaku serta-merta. Agama telah melampirkan banyak tanda-tanda yang akan didedahkan dari satu zaman ke zaman seterusnya. Malangnya, manusia masih buta dalam menilai setiap  apa yang berlaku kepada dunia dan isinya.

Dunia, beberapa kehancuran besar telah kau lalui,
Bumi-bumi indah dirakus dengan kejam,
Bumbung-bumbung keluarga ditusuk keleburan,
Wanita, anak-anak dan orang  tua dipercik darah maruahnya,
Negara mereka dinodai kedaulatannya,
Mesir bergolak, Syria dilanda badai,
Palestin diperang, Iraq mengganas,
Kehancuran demi kehancuran,
Tombak penderitaan demi penderitaan,
Syaitan durjana semakin berkuasa,
Menentang segala kebenaran yang bangkit,
Seolah-olah tiada berkesudahan.

Dunia, kau menjadai saksi nyata,
Negara Islam ditindas,
Negara Barat dan Zionis menendang,
Negara Timur menentang halus,
Pertembungan dunia besar menuju kehancuran.
Kebangkitan mujahid semakin membara,
Melaungkan kedaulatan Islam yang syumul,
Mengagungkan syiar Islam walau dihalang,
Syahid menanti di hamparan kehidupan mereka.

Sedih, sedih dan sungguh sedih dirasakan jiwa dan hati ini, di saat Islam ingin menuju kedaulatannya di dunia, ujian demi ujian dihamparkan kepada pejuang mereka walau di mana berada, walau di utara, selatan, timur dan barat. Di setiap perjuangan itu, pasti akan ada penentangan durjana yang sesat dan jahil. Namun, musibah demi musibah perjuangan itulah sebagai membakar jiwa-jiwa kental jihad mereka, membangkitkan segala kekuatan iman dan aqidah mereka. Bergembiralah wahai mujahid yang dinanti syurga dan bidadarinya, kau bakal dijulang agama, kau bakal tersenyum di dunia sana dan kau bakal hidup bahagia selama-lamanya di syurga sana.

Ayuhlah, pemuda-pemudi sekalian, 
Kaulah tunggak perjuangan suci,
Kaulah peneraju syiar Islam yang bakal terlaksana,
Kaulah pelindung kepada mereka yang lemah,
Kaulah penentang hebat kerakusan duniawi.

Malaysia, walau bukan peperangan yang nyata, namun kaulah mangsa kekalahan duniawi. Kau menjadi titipan mata-mata halus mereka, dek kerana kelemahan yang telah nyata kau dedahkan kepada mereka, bukan kekuatan yang dilihat pada mereka, tetapi kelemahan yang sentiasa bermain di meja perunding mereka. Dunia hari ini, sungguh seram dan menakutkan, penuh dengan muslihat licik, penyamaran dan drama yang tragis. Sungguh, sungguh ku merasa amat tidak selamat berada bersamamu wahai dunia hari ini, tapi kemana lagi harus aku pergi kalau kaulah satu-satunya yang menjadi hamparan tikar kehidupanku dan kehidupan mereka.

Malaysia, kau juga mempunyai kisah cerita tersendiri,
Kisahmu amat unik dengan pelbagai coretan yang tertulis,
Kau dijulang di hadapan mata mereka,
Tapi kau diherdik hebat dibelakang mereka,

Malaysia hari ini, sungguh takut untuk diceritakan,
Pembunuhan kejam menjadi biasa di khabar harian,
Rasuah menjadi amalan di medan kuasa,
Penipuan menjadi pemanis dalam penguasaan,
Kezaliman menjadi pelindung kepada rakyatmu.

Malaysia, dulu aku bahagia bersamamu, 
Aku aman bersamamu,
Aku damai dengan Islam yang ada di dalammu,
Aku cinta dengan keamanan yang diwarisi dahulu.

Namun Hari Ini.....

Malaysia. kau sudah berubah,
Kau menjadi beban kepada rakyatmu sendiri,
Kau menjadikan rakyat sendiri sebagai mangsa,
Mangsa kepada kekayaan yang kau perolehi,
Kau laburkan maksiat dihadapan rakyatmu.

Malaysia, musibah demi musibah kau telan,
Tanah Melayu dahulu, bukan Malaysia hari ini,
Kau telah menjulang peninggalan penjajah,
Kau sisihkan amalan Islam di dalamnya,
Kau jauhkan kebajikan kepada rakyatmu,
Kau hilangkan sifat kemanusiaan dalam jiwa rakyatmu.

Malaysia negara yang dicintai, semoga suatu hari nanti, kau akan kembali berubah, berubah menilai nasib rakyatmu yang ditindas secara halus, nasib penghunimu yang ditekan dengan bebanan yang melambung dan nasib daulahmu yang sedikit membengkok dari kebenaran Islam. ayuhlah, sama-sama kita berdoa, agar Malaysia akan berubah menjadi negara Islam yang sebenarnya, membela nasib rakyatnya dengan sebaiknya dan Malaysia sentiasa berada di bawah lembayung rahmat dan perlindungan Allah s.w.t....Amin...... 

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~xx~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~