Ahad, 8 Julai 2012

Usaha Jodoh!

Apabila disebut soal jodoh,pasti ramai yang akan tersenyum sendiri kerana ia sangat sensitif disebabkan mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan perasaan individu. Inilah perasaan yang dinamakan perasaan sayang dan cinta. Namun hanya sedikit sahaja yang dapat memahaminya dengan jelas. Rezeki, jodoh dan ajal maut sebenarnya telah pun ditetapkan bagi setiap individu sejak azali lagi dan telah pun lama tercatat di Luh Mahfuz sebelum dunia ini wujud lagi.

Apabila sesuatu itu berurusan dengan rezeki, semunya pasti akan mengatakan, walaupun sebenarnya rezeki itu telah pun tercatat sejak dulu lagi, namun rezeki itu tidak akan datang bergolek melainkan kita sebagai manusia wajib berusaha untuk mendapatkan rezeki itu dengan cara yang halal, tidak kiralah sama ada rezeki itu berupa harta, anak pinak, peluang belajar, bekerja dan sebagainya. Semua itu tidak akan ada, tanpa adanya usaha yang setimpal. Begitulah pandangan yang biasa kita dengar dan dipersetujui oleh semua pihak.

Ajal maut pula? semuanya pasti akan berpendapat bahawa walau kemana jua kita melarikan diri, walau setinggi manapun kita tercapai mendaki, walau serendah manapun kita merudum ke bawah, apabila tiba saat gugurnya daun roh itu dari tangkai nyawanya, maka akan terpisahlah roh itu dari jasad sebagaimana yang ditetapkan sejak azali lagi. Inilah satu-satunya pekerjaan Malaikat Izrail sepanjang zaman yang paling menepati masanya tanpa sedikit pun terkurang apatah lagi terlebih. 

Jodoh pula bagaimana? ada pendapat sesetengah orang bahawa jodoh tak kan datang tanpa usaha mencarinya, jodoh tak kan tiba andai tiada usaha untuk menyambutnya, jodoh tak kan hadir jika  tidak dibukakan jalan kehadirannya. Itukan yang dimaksudkan dengan usaha dalam mencari jodoh?? namun sebenarnya, disebalik maksud tersurat itu, ada maksud tersirat yang tersembunyi disebalik kata-kata itu. Jodoh itu juga adalah merupakan suatu ketetapan dari Allah dan usahanya adalah pada diri kita sendiri, iaitu usaha untuk memperbaiki diri menjadi yang terbaik agar jodoh yang akan datang itu adalah yang terbaik datang dari Allah.

Ini telah mengingatkan saya kepada satu Firman Allah yang berbunyi: 

  الْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ

“Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” (an-Nur':26)

Jelas sekali ayat dari firman Allah ini telah menyebutnya. Namun setiap yang jahat itu boleh berubah menjadi lebih baik dengan bertaubat dan memperbaiki diri dengan amalan-amalan yang mulia. InsyaAllah, pasangan yang akan hadir pasti adalah yang terbaik dari Allah swt. Satu isu yang sangat penting yang amat-amat dipandang ringan oleh sesetengah pihak terutamanya kaum muda-mudi yang leka dalam cinta dunia kini, iaitu usaha untuk mendapat restu orang tua sangat diketepikan kerana ingin menjaga hati sendiri dan pasangannya. Bahkan kalau ingin dikira ganti, ibubapa adalah orang sangat perlu untuk dijaga hatinya, inikan pula  diingkari kata-kata dan nasihatnya yang hanya ingin yang terbaik untuk anak-anaknya. Tetapi ada segelintir anak -anak kini yang menjadi buta hati hanya kerana ingin menjaga perasaan cinta mereka yang entah dimana ada baiknya.

Bayangkan selama 20, 23, 25, 27, 30 tahun, seorang ibu dan seorang ayah yang semakin meningkat usia senjanya, namun masih lagi tetap menjaga anak-anaknya dengan baik tanpa mengira apa jua tindakan anak. Tetapi bagi seorang anak, hanya kenal dengan pasangan hanya baru setahun mentah, sudah mula melupakan jasa ibu bapa yang sangat besar berpuluh-puluh tahun lamanya. Apakah ini balasan seorang anak untuk ibubapanya di zaman moden kini.? Alangkah ruginya mereka ini yang bukan sahaja mengingkari kata-kata dan hasrat ibubapa, bahkan hidup mereka tiada keberkatan walaupun telah berjaya hingga setinggi langit dunia, tapi sebenarnya akan menghadapi hidup serendah bumi yang gersang tanpa keberkatan. Nauzubillahi min zalik!!

Usaha yang dimaksudkan pada nukilan kali ini adalah usaha untuk mengubah diri menjadi lebih baik agar mendapat jodoh yang terbaik disisi Allah dan usaha untuk mencapai restu ibu bapa dalam mendapat jodoh yang diberkati Allah s.w.t. bukan sahaja bahagia hidup di dunia, bahkan jua berjaya di akhirat sana. InsyaAllah....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan