Rabu, 4 Januari 2012

HIKMAH DISEBALIK SEMUANYA........

Syariat Islam adalah suatu suruhan yang diperintahkan Allah kepada semua Umat Islam. Syariat yang paling asas ialah sebagaimana yang terkandung dalam lima rukun Islam yang utama. Pertamanya mengucap dua kalimah Syahadah, solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji ke Baitullah. Kelima-lima rukun Islam ini adalah suatu syariat yang wajib dilakukan oleh semua umat Islam melainkan yang kelima adalah diwajibkan bagi yang berkemampuan. 

Pada rukun Islam yang pertama, iaitu mengucap dua kalimah syahadah, ucapan kalimah mulia itu bukan sahaja dapat menenangkan jiwa, bahkan ia juga sebagai terapi bagi sesiapa yang mempunyai penyakit hati atau penyakit jiwa. Fungsinya sebagai penenang jiwa amatlah jelas dan terang dengan akuan benar terutama daripada semua saudara baru yang baru memeluk agama Islam. Daripada semua kisah saudara baru yang baru memeluk Islan yang telah saya baca sebelum ini, isu yang pertama dan pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagi mereka ialah semasa mengucap dua kalimah syahadah kerana ketika itu terasa hati mereka terasa teramat tenang tanpa resah gelisah dan seakan-akan telah mempunyai satu matlamat hidup yang jelas. Maka dari situ, dapat saya simpulkan akan kemuliaan ucapan kalimah syahadah ini yang sangat agung yang menjadi teras pegangan aqidah dan tauhid bagi semua umat Islam termasuk diri saya ini dan sahabat-sahabat sekalian. Seterusnya, melalui pembacaan saya yang lepas telah mengoreksi satu rahsia besar pada kalimah syahadah ini dimana kalimah mulia dan agung ini adalah sebagai satu penawar dan penyembuhan bagi mereka yang mempunyai penyakit hati selain mengamalkan zikir-zikir tertentu, begitu besar peranan dua kalimah syahadah ini. Selain itu, ingin saya kaitkan sedikit dengan ayat al-Quran kerana ucapan kalimah syahadah ini juga adalah sebahagian daripadanya. Terdapat banyak kajian- kajian luar negara yang dilakukan oleh para Saintis yang tidak beragama Islam pada sifat molekul-molekul air yang dibacakan dengan ayat al-Quran dan tidak dibacakan dengan ayat al-Quran, dan melalui pengkajian mereka ini, sangat jelas hasilnya bahawa sifat molekul air yang dibacakan dengan ayat al-Quran adalah sangat cantik dan bersinar  berbanding yang tidak dibacakan dengan ayat al-Quran yang sangat buruk rupanya. Semoga dengan terbukti hasil pengkajian ini akan menarik lebih ramai antara mereka ini untuk memeluk agama Islam yang suci. Amin.... 
 
Bagi Rukun Islam yang kedua pula, solat lima waktu sehari semalam. Solat ini adalah satu syariat yang diturunkan Allah pada kita semua untuk melaksanakannya walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Jika tidak boleh berdiri seperti biasa, maka boleh dilakukan secara duduk, jika tidak boleh juga, maka boleh dilakukan dengan cara mengiring, jika msih tidak berkemampuan juga, maka boleh dilakukan dengan berbaring, jika masih juga tidak mampu, maka boleh dilakukan dengan isyarat mata dan jika masih juga tidak mampu maka cara yang paling terakhir adalah dengan cara isyarat hati sahaja. Begitulah rukhsah (keringanan) yang ditetapkan bagi menunaikan solat jika dalam keuzuran dan betapa pentingnya syariat ini untuk dilaksanakan. Sebagaimana yang diketahui umum bahawa solat ini terdiri daripada banyak perbuatan tertentu dan perbuatan tersebut telah dikaji dan diakui akan kemanfaatannya pada sistem tubuh dan minda manusia. Yang pertamanya ialah kesan positif pada sisitem saraf, kemudian tulang, sistem pernafasan, aliran oksigen dalam otak dan seluruh sistem imunisasi badan. Kebanyakan kajian yang dilakukan adalah daripada golongan-golongan saintis yang tidak beragama Islam, tetapi tidak kurang juga banyaknya saintis yang bergama Islam melakukannya. Maka, hasil kajian yang dilakukan telah terbukti dengan jelas tentang kebaikannya kepada kesihatan tubuh manusia dan juga sebagai terapi jiwa yang terbaik. Tambahan lagi, sebelum solat, setiap muslim haruslah mengambil wuduk terlebih dahulu dan perkara asas utama dalam berwuduk ialah air. Air ini merupakan satu sumber yang terpenting bagi kehidupan untuk minum, membasuh dan kebersihan diri. Perlakuan wuduk ini dimulakan dengan membasuh tangan dan diakhiri dengan membasuh kaki dan anggota-anggota lain adalah merupakan anggota yang sangat terjejas kepada hama dan debu-debu luaran. Ini akan menyebabkan kepada bakteria yang juga disebut seperti virus yang menghidap pada manusia. Tetapi pada amalan seorang muslim, mereka akan membasuh semua anggota luaran yang terdedah itu sebanyak lima kali sehari dengan air, dan amat jelas sekali akan kebersihannya. Sepertimana berkata Dr. Danial Zainal Abidin, bahawa umat Islam adalah antara mereka yang sangat tipis peratusnya untuk mendapat virus SAR dan H1N1. Disinilah amat terbukti akan kepentingan kebersihan dan kesucian dalam ajaran Islam.

Zakat dan haji, syariat ini sangat berkaitan dengan harta  yang kita miliki. Andai kita merupakan salah seorang yang cukup pada syaratnya dari segi harta dan syarat tertentu yang lain, maka wajiblah kita tunaikannya. Agak berbeza dengan dua syariat sebelumnya yang lebih menjurus kepada kemampuan diri individu untuk menunaikannya tidak kiralah sama ada individu itu miskin atau kaya, tua atau muda, semuanya wajib dilakukan walaupun ada rukhsah-rukhshnya yang tertentu. Zakat ini lebih menjurus kepada amalan sedekah yang diwajibkan kepada golongan yang lebih berkemampuan dari segi harta yang dimiliki kepada mereka yang tidak berkemampuan, dan sebenarnya sedekah zakat ini adalah sebagai suatu terapi jiwa yang boleh mendamaikan jiwa. Adakah anda bersetuju dengan pendapat saya ini? ini adalah kerana jika kita bersedekah, seolah-olah kita telah dapat membantu meringankan beban mereka yang memerlukan sekaligus dapat memberi kebahagiaan kepada mereka, inilah sebenarnya yang boleh membuatkan kita tersenyum senang hati dengan melihat kegembiraan dan kesenangan di hati saudara seislam kita. Bukankah semua orang Islam itu bersaudara? maka inilah salah satu caranya kita dapat membuktikan persaudaraan seislam kita selain dari doa yang dihulurkan. 

Manakala, haji pula ialah menunaikannya di Baitullah Makkah al-Mukarramah yang merupakan tempat yang paling cerah dan stabil di dunia ini. Tidak semua orang berkemampuan untuk menunaikannya, tetapi beruntunglah bagi mereka yang telah dijanjikan Allah untuk sampai ke sana, moga-moga kita semua adalah antara mereka yang dijanjikan itu. Amin...
Pensyariatan haji ini sangat tersusun dan sistematik, kerana setiap amalan yang dikerjakan hendaklah mengikut satu persatu urutan yang wajib dilakukan, dan setiap amalan itu telah terbukti akan kebaikan dan kemanfaatannya menurut sains dan kesihatan. Jika kita lihat kepada satu amalan haji iaitu bersai' dari sofa ke marwa, ia dilakukan secara berlari-lari anak seperti joging sebanyak tujuh kali. Jika joging yang sekejap pun boleh menyihatkan badan, apatah lagi dengan amalan sai' ini, itu tidak ditambah lagi dengan amalan tawaf, melontar di tiga jamrah , bergunting atau bercukur dan sebagainya.

Memang tidak cukup helaian jika ingin menghuraikan segala-gala yang tersembunyi disebalik semua yang disyariatkan ini, mahupun dari segi hukumnya dan dari segi kajian santifik. ya! tidak dinafikan kajian sains ini datang kemudian dari  syariat, tetapi apa salahnya, jika kita gandingkannya apa yang berkaitan dengan manfaat hukum dan kebaikan sains agar hati kita ini lebih berkobar-kobar dan bersemangat untuk melakukannya tanpa sikap sambil lewa. Sebenarnya inilah hikmah yang tersembunyi disebalik semuanya yang telah dibuktikan oleh kajian sains..Fikir-fikir dan renung-renungkanlah bersama agar dapat memberi kebaikan dan kemanfaatan bersama...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan