Selasa, 17 Januari 2012

SEDEKAH HARIAN, SETIAP WAKTU DAN KETIKA..........

 عن أبي هریرة  قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : (( آل سلامى من الناس عليه صدقةٌ آل یوم تطلع فيه الشمس، تعدل بين اثنين صدقة، وتعين الرجل في دابته فتحمله عليها، أو ترفع له عليها متاعه صدقة، والكلمة الطيبة صدقة، وبكل خطوة تمشيها إلى الصلاة صدقة وتميط الأذى عن الطریق صدقة )) رواه البخاري ومسلم.


 Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim.

Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Setiap anggota badan manusia adalah sedekah baginya pada setiap hari apabila terbit matahari; engkau berlaku adil (iaitu mendamaikan) antara dua orang (iaitu dua orang yang berbalah) adalah sedekah, engkau membantu seseorang naik kenderaannya atau mengangkat barang-barangnya ke atas kenderaannya adalah sedekah, perkataan yang baik adalah sedekah, setiap langkah yang engkau hayunkan kaki pergi sembahyang adalah sedekah dan menghilangkan sesuatu bahaya di jalanraya adalah sedekah.

Pengajaran hadis:

(1)  hadis ini menerangkan bahawa setiap amal perbuatan mukmin walaupun kadang-kadang
dianggap biasa atau sedikit, akan mendapat pahala sedekah.

(2) Seorang mukmin boleh mendapat pahala sedekah hasil setiap pergerakan anggota tubuh badannya. Tangannya, kakinya, mulutnya dan akalnya berhak mendapat pahala sedekah apabila melakukan amal kebajikan.

(3) Ruang untuk mendapatkan pahala dalam lslam amat luas dan tidak hanya terbatas kepada amal ibadah khusus semata-mata, sehingga kadang-kadang tidak disangka bahawa sesuatu perbuatan yang dianggap biasa itu menjadi ibadah dan diberikan pahala.

Maka, janganlah anda segan-silu lagi untuk melakukan amal kebajikan sama ada kepada diri  sendiri atau orang lain ataupun seluruh makhluk kerana setiap perbuatan amal itu adalah pahala sedekah. Lihatlah dan renunglah betapa murahnya Allah yang bersifat Ar-Rahman (Yang Maha Pemurah)  untuk memberi ganjaran pahala kepada kita semua. Sedekah ini bukan bermaksud dengan memberi harta sahaja, tetapi sedekah juga adalah perkhidmatan yang diberikan dan amalan yang dilakukan dengan ikhlas kerana Allah s.w.t........

Tiada ulasan:

Catat Ulasan